Gambar hiasan.
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


PENGGUNA terjejas ekoran kelewatan jadual perjalanan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh–Kajang, hari ini ditawarkan kupon perjalanan percuma.

Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan MRT memohon maaf atas kesulitan dihadapi pengguna yang berpunca daripada salah satu tren mengalami masalah tekanan pada sistem brek di Stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn pada 6.15 pagi.

Jurucakap Rapid Rail Sdn Bhd berkata, Tren MRT dilengkapi dengan ciri keselamatan tinggi dan apabila tekanan brek rendah atau mengalami masalah, tren akan berhenti dan sistem brek berada dalam keadaan kunci (lock).

“Tekanan diperlukan bagi membolehkan sistem brek kembali berfungsi. Insiden pagi tadi memerlukan proses “coupling” atau menunda tren yang mengalami masalah brek dengan tren lain dan proses ini memerlukan masa agak lama untuk diselesaikan.

“Sementara kerja menunda tren dijalankan oleh jurutera Rapid Rail, pihak pusat kawalan operasi MRT mengaktifkan pelan ‘Alternate Service’ antara Stesen Sri Raya ke Stesen Sungai Jernih,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bas perantara percuma turut disediakan bagi melancarkan perjalanan penumpang di antara Stesen Sri Raya dan Stesen Sungai Jernih.

Menurutnya, pengguna dari Stesen Sungai Buloh hingga ke Stesen Suntex tidak terjejas dengan gangguan berkenaan.

“Tren berkenaan berjaya ditunda keluar dan perkhidmatan kembali normal pada 7.21 pagi.

“Pengguna terjejas ditawarkan kupon perjalanan percuma yang boleh dituntut di semua kaunter MRT Sungai Buloh - Kajang.

“Kupon ini harus digunakan dalam tempoh lima hari dari hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 8:03 PM