Ribut disusuli hujan batu menyebabkan beberapa rumah penduduk rosak. (Gambar kecil) Hujan batu yang dirakam penduduk. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Amanina Suhaini
cnews@nstp.com.my


HUJAN batu di FELDA Air Tawar 3, Kota Tinggi hari ini menyebabkan beberapa rumah penduduk di sekitar kawasan itu rosak.

Kejadian kali pertama dan terburuk itu berlaku ketika hujan lebat disusuli ribut hingga menumbangkan pokok dan bumbung rumah.

Ketua Kampung FELDA Air Tawar 3, Ahmad Asral Mohamed berkata, hujan seumpama itu pernah berlaku empat tahun lalu namun tiada kemusnahan harta benda berbanding hari ini.

Katanya, pada awalnya, hanya hujan biasa 3 petang tadi sebelum bunyi bingit di bumbung rumah didengari setengah jam kemudian.

“Mula-mula hujan biasa saja, tiba-tiba terasa bunyi air batu di bumbung rumah disusuli ribut dan angin kencang berterusan sehingga 4.30 petang.

“Sehingga kini saya belum menerima laporan kecederaan, namun 22 rumah mengalami kerosakan akibat kejadian ini.

“Hujan batu kira-kira setengah jam disusuli ribut turut menyebabkan beberapa pokok tumbang di rumah penduduk, di jalan raya, menghempap kereta selain bekalan elektrik terputus di Tanah Perkuburan Islam FELDA Air Tawar 3,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Asral berkata, terdapat 5,000 penduduk menetap di Kampung FELDA Air Tawar 3 termasuk 514 peneroka dan 140 rumah generasi kedua.

“Saya bersama wakil penduduk menjalankan rondaan bagi mengenal pasti lokasi terjejas termasuk melihat keperluan penduduk yang memerlukan penginapan sementara.

“Malam ini akan diadakan mesyuarat bersama pemimpin dan penduduk bagi mencari penyelesaian, gerak kerja serta bantuan segera bagi mereka yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kampung FELDA Air Tawar 2, Nasruddin Hassan berkata, kampung itu tidak terjejas teruk walaupun terletak tiga kilometer dari Kampung FELDA Air Tawar 3.

Katanya, tidak berlaku hujan batu di kawasan itu, sebaliknya hanya hujan lebat dan ribut selama beberapa minit.

“Di sepanjang jalan ada beberapa pokok tumbang namun saya tidak menerima laporan sehingga berlaku kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 7:04 PM