Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


SEORANG ahli perniagaan wanita bertindak menolak jurukamera sebuah stesen televisyen swasta dipercayai untuk melepaskan kemarahan selepas petugas media itu merakam gambarnya.

Kejadian di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Ayer Keroh, 10.45 pagi tadi, mengejutkan petugas media yang membuat liputan.

Wanita menutup muka menggunakan surat khabar tiba-tiba berlari ke arah jurukamera berkenaan dan menolaknya sebelum beredar meninggalkan perkarangan mahkamah.

Terdahulu, wanita berkenaan dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Hakim Mahkamah Sesyen Norma Ismail.

Wanita terbabit Lai Woan Yong, 37, diperintah membayar denda selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Lai yang juga pengusaha perniagaan perabot didakwa menyebabkan kesakitan dan penderitaan tidak wajar kepada anjing jantan kacukan warna coklat kehitaman serta anjing betina kacukan warna hitam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kawasan pagar hadapan dan belakang rumahnya di Taman Merdeka, Hang Tuah Jaya, 10.20 pagi, 28 Jun tahun lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 44 (1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647)(Semakan 2006) dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan) 2013(Akta A1452).

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya.

Ketika prosiding, tertuduh diwakili Peguam Sia Sin Yee merayu hukuman diringankan dengan alasan menanggung bebanan hutang perusahaan perabot miliknya.

Tertuduh juga menyara bapa ayah yang uzur dan seorang anak perempuan berusia 10 tahun seorang diri selepas ditinggalkan suami.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka, Raja Mazlan Raja Mamat, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Raja Mazlan, turut memohon kos rawatan kedua-dua haiwan malang itu berjumlah RM721 dibayar kepada jabatan terbabit.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Beliau turut memerintahkan tertuduh membayar kos rawatan haiwan berjumlah RM721 kepada JPV dan kedua-dua anjing itu dipulangkan semula kepada tertuduh.

Tertuduh kemudian membayar jumlah denda ditetapkan mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 3:11 PM
LAI menutup muka menggunakan surat khabar. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber.