Kesan tompokan minyak dirakam satelit di Tanjung Balau, Kota Tinggi, petang semalam. FOTO ihsan Jabatan Laut.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


JABATAN Laut Wilayah Selatan (Johor) menemui satu lagi tompokan minyak dianggarkan sebanyak kira-kira 60 tan di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, petang semalam.

Penolong Pegawai Laut, Roslee Ibrahim berkata, tompokan baharu itu diperoleh menerusi imej satelit yang disalurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki teknologi itu di United Kingdom.

“Imej tompokan minyak itu dikesan menerusi satelit pada 7 petang semalam, sebelum perkara itu dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan (Johor) Dickson Dollah pada 8 malam.

“Imej itu mengesan tumpahan minyak dianggarkan sebanyak kira-kira 60 tan dengan kedudukannya kira-kira tiga batu nautika dari Tanjung Balau di sini,” katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya, pasukan respon Jabatan Laut kemudian menggunakan Bot Al Tair dari Gelang Patah dan bergerak ke lokasi pada 9 pagi untuk memantau tumpahan minyak itu.

Katanya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat daripada nelayan tempatan yang terjumpa tompokan minyak itu.

Bagaimanapun katanya, pasukan digerakkan untuk pemantauan dan pembersihan lokasi tumpahan minyak di lokasi itu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mencari dalang perbuatan itu hingga menjejaskan perairan negera dan pendapatan nelayan.

Pada jam 3 petang, 20 April lalu, Jabatan Laut menemui tumpahan minyak sepanjang kira-kira satu kilometer di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi.

Berikutan itu Bot Al Nilam iaitu bot Jabatan Laut Wilayah Selatan diarahakn melakukan kerja pembersihan dan bergerak dari Tanjung Pengelih ke lokasi berkenaan pada 6 pagi.

Kejadian itu mengakibatkan kira-kira 50 nelayan di Tanjung Balau dan Tanjung Lompat, di sini, terjejas pendapatan akibat insiden tumpahan minyak yang mencemari kawasan perairan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 3:04 PM