MOHD Zain mengusahakan nira daripada pokok kurma di Kampung Teras, Binjai.
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


KOTA BHARU: Bermula dengan hobi menanam pokok kurma, kini seorang peniaga boleh tersenyum apabila mampu memperoleh pendapatan lumayan hasil jualan air nira kurmanya.

Lebih unik, hasil diperoleh bukan daripada buahnya, tapi air nira, manisan dan cuka yang dihasilkan daripada pokok ditanam sejak 19 tahun lalu.

Difahamkan, Mohd Zain Mohamad, 59, atau lebih dikenali sebagai Haji Zain dalam kalangan pelanggannya adalah satu-satunya pengusaha air nira kurma di negara ini.

Mohd Zain berkata, dia mula menanam 200 pokok kurma di tanah seluas 0.3 hektar itu hanya untuk mengisi masa lapang.

Tanpa mempunyai ilmu khusus berhubung penjagaan tanaman itu, pokok kurma menjadi jantan dan tidak mampu menghasilkan buah.

“Saya kemudian mendapat maklumat daripada seorang pekerja Bangladesh, pokok kurma boleh menghasilkan air nira atau lebih dikenali sebagai tuak kurma.

“Menerusi maklumat itu, saya berusaha mendalami dan belajar teknik mendapatkan air nira daripada pokok kurma. Warnanya lebih kurang sama dengan nira kelapa, namun rasanya jauh lebih lemak dan manis.


MOHD Zain menunjukkan cara menghasilkan nira daripada pokok kurma.

“Alhamdulillah sejak tahun lalu, saya mula menjual air nira kurma di sekitar negeri ini dengan harga RM15 hingga RM20 untuk setiap 250 mililiter bergantung kepada pengeluaran,” katanya ketika ditemui di Kampung Teras, Binjai di sini, semalam.

Menurutnya, untuk mendapatkan air nira, bahagian batang pokok kurma itu perlu ditoreh untuk mengeluarkan airnya yang akan dibiarkan penuh di dalam botol.

“Setiap pokok kurma mampu menghasilkan sehingga lima liter air nira yang boleh diambil pada setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 6:30 AM