MOHD TAIB menunjukkan bungkusan teh Cina mengandungi dadah yang dirampas di Taman Impian Emas di Johor Bahru. FOTO NSTP
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


TAKTIK lapuk sindiket dadah menggunakan bungkusan teh Cina untuk mengedar 27.39 kilogram syabu bernilai RM1.5 juta tidak menjadi apabila dadah itu dirampas di Taman Impian Emas di Johor Bahru, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, rampasan itu berdasarkan intipan dilakukan pihaknya di bangunan rumah kedai dua tingkat di situ.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan 4.30 petang, polis menemui 28 bungkusan teh hijau yang dilabelkan dengan bahasa Cina di tingkat satu rumah kedai berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berwarna hijau itu mengandungi ketulan disyaki dadah jenis syabu.

Katanya, dalam serbuan berkenaan pihaknya juga menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun bagi membantu siasatan.

“Polis yakin bekalan dadah itu adalah bagi pasaran tempatan.

“Perancangan sindiket berkenaan bagi mengaut keuntungan dengan mengedar bekalan dadah itu musnah apabila ia dirampas polis,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Mohd Taib berkata, pihaknya menahan reman lelaki berkenaan tujuh hari bermula semalam.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kami akan menggandakan usaha bagi memburu sindiket pengedaran dadah serta mempertingkatkan risikan dan operasi secara berterusan,” katanya.

Pada 22 Mac lalu, sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar didalangi rakyat tempatan berjaya ditumpaskan membabitkan rampasan dipercayai jenis syabu seberat 2.06 tan dianggarkan bernilai RM103.2 juta.

Dadah yang dirampas itu dibawa masuk menggunakan peket bungkusan Teh Cina Guanyingwang sebanyak 2,000 bungkus yang disembunyikan dalam sebuah kontena.

Ia adalah kejayaan kerjasama tiga agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 1:10 AM