Arak tiruan yang dirampas dalam serbuan di beberapa lokasi kelmarin. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


SEBANYAK 4,366 botol minuman keras pelbagai jenama dipercayai arak tiruan dan tidak bercukai dirampas polis Melaka dalam empat serbuan yang dilakukan di sekitar Krubong dan Cheng kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, minuman keras yang dirampas itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini melalui jalan tidak sah.

Menurutnya, serbuan dilakukan ke atas empat rumah masing-masing satu di Taman Sri Krubong dan Taman Cheng Perdana manakala dua lagi di Taman Teknologi Cheng.

“Semua arak yang dirampas bernilai RM500,000. Bagaimanapun, kita belum dapat sahkan sama ada arak rampasan ini beracun atau sebaliknya,” katanya.

Selain arak dipercayai tiruan, Mohd Nor Yhazid berkata, pihaknya turut merampas lori Mitshubishi Canter, tiga kereta masing-masing Honda CRV, Mercedez Benz dan Naza Suria serta satu pacuan empat roda Mitshubishi Triton.

Beliau berkata, sejumlah duti stem kastam disyaki palsu dan beberapa peralatan dan cecair dipercayai digunakan untuk memproses minuman tiruan secara haram turut dirampas dan nilai keseluruhan rampasan menjangkau RM1.5 juta.

“Kita menahan empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 24 hingga 38 tahun selain dua lelaki warga Myanmar berusia 22 dan 39 tahun di premis terbabit.

“Dua suspek direman dua hari manakala lima lagi direman tiga hari, semuanya bermula Rabu lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sabit kesalahan boleh didenda lebih 20 kali ganda jumlah cukai kastam atau RM500,000 mengikut jumlah yang lebih tinggi atau dipenjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 7:13 PM