KONGKANG diselamatkan APM. FOTO Ihsan APM.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


SEPASUKAN pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dipanggil bagi membantu menangkap seekor kongkang ditemui di halaman sebuah rumah di Bukit Jelutong, Shah Alam, 10.30 pagi tadi.

Kehadiran haiwan spesis terancam dan dilindungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) itu disedari seorang wanita.

Malah, suri rumah itu pada mulanya menyangka haiwan berkenaan adalah seekor tupai terbang (sugar glider).

Pegawai Operasi APM daerah Klang Leftenan (PA) Muhammad Najib Ishak berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 10.37 pagi.

“Selepas melakukan semakan kami pasti haiwan itu adalah kongkang dan bukan tupai terbang berdasarkan ciri-ciri seperti saiznya yang besar.

“Anggota operasi mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap haiwan itu menggunakan peralatan khas.

“Operasi dijalankan dengan berhati-hati kerana kongkang boleh mengeluarkan racun

berbahaya. Haiwan itu kemudian diserahkan kepada PERHILITAN untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kongkang spesies mata bulat atau nama saintifiknya Nycticebus Coucang adalah hidupan liar dilindungi sepenuhnya dan tiada lesen dikeluarkan bagi tujuan menangkap atau memelihara spesies itu.

Ia haiwan daripada kumpulan primat (monyet) yang aktif pada waktu malam dan dikenali

dengan sifatnya bergerak amat perlahan.

Namun, kongkang satu-satunya primat dan satu daripada tujuh spesies mamalia boleh mengeluarkan racun sehingga menyebabkan kejutan anafilaksis serta kematian termasuk kepada manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 5:23 PM