FOTO Hiasan.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


TIGA individu kerugian RM12,070 selepas mendakwa terpedaya dengan skim pinjaman peribadi tidak wujud diiklankan di media sosial.

Difahamkan, sindiket pinjaman tidak wujud itu menggunakan modus operandi sama ketika menawarkan pinjaman hingga menjerat ratusan ribu mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berminat diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun diberikan sindiket kononnya sebagai caj pemprosesan.

“Mangsa akan terus diminta membuat bayaran ke akaun diberikan atas pelbagai alasan hinggalah mereka sedar sudah ditipu.

“Bagi kes ini mangsa membabitkan pemilik kedai, kerani dan pembantu di sebuah sekolah,” katanya.

Noorzainy berkata, ketiga-tiga mangsa mendakwa mencari iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook (FB) bagi dijadikan modal perniagaan dan kegunaan peribadi.

Beliau berkata, mangsa tertarik dengan tawaran iklan pinjaman di FB itu dan mengisi permohonan pinjaman secara dalam talian.

“Kemudian mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat menyediakan pinjaman peribadi.

“Selepas setuju membuat pinjaman mangsa diarahkan membuat bayaran wang proses,” katanya.

Menurutnya, selesai membuat pembayaran, mangsa tidak memperoleh wang seperti dijanjikan.

Berikutan itu katanya, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud atau pinjaman yang tidak melalui ejen sah dan berdaftar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 5:01 PM