Kebakaran di sebuah rumah di Flat Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu yang disyaki berpunca perbuatan khianat. FOTO ihsan bomba.
Erika George
am@hmetro.com.my


EMPAT sekeluarga terselamat daripada perbuatan khianat individu tidak dikenali yang cuba membakar kediaman mereka di Flat Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, keluarga berkenaan bernasib baik kerana sempat menghidu bau asap dan petrol dari arah pintu rumah mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, ketika kejadian keluarga terbabit sedang berehat sebelum dikejutkan bunyi mencurigakan di pintu hadapan.

“Apabila diperiksa mereka mendapati pintu rumah sedang terbakar. Mereka menjerit meminta bantuan jiran memadamkan kebakaran itu,” katanya.

Beliau berkata, anggota tiba di lokasi kejadian pada 10.25 malam dan mendapati api berjaya dikawal oleh jiran mangsa.

“Pemeriksaan awal yang dilakukan menjumpai satu bekas petrol ditinggalkan di kawasan tangga kediaman itu.

“Kita tidak menolak kemungkinan kebakaran disebabkan perbuatan khianat. Namun kita serahkan kes ini kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 5:01 PM