GANJA dan topi keledar dirampas daripada suspek yang ditahan berhampiran stesen minyak di Jalan Baru, Prai, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO ihsan polis.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


CUBAAN seorang penunggang motosikal menyembunyikan ganja dalam topi keledar gagal mengaburi mata polis apabila dia ditahan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Baru, Prai, Bukit Mertajam, 4.30 pagi hari ini.

Lelaki berusia 40 tahun terbabit pada mulanya dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum dia ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek ketika itu menunggang motosikal Demak Evo Z dan pemeriksaan awal tidak menemui barang salah pada badannya.

Menurutnya, polis membuat pemeriksaan lanjut dan menemui satu bungkusan lutsinar mengandungi ganja dalam topi keledar miliknya.

“Siasatan mendapati suspek yang juga pekerja kontrak itu mempunyai tujuh rekod lampau bersabit kesalahan dadah.

“Suspek kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis turut merampas topi keledar biru dipakai suspek sebagai barang kes dan dia dipercayai menggunakan dadah terbabit untuk kegunaan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 4:34 PM