FOTO Hiasan
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


PADAH meloloskan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, bulan lalu, seorang banduan terpaksa menjalani hukuman penjara tambahan setahun enam bulan di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Faizal Hussain, 23, mengaku salah terhadap tuduhan.

Pada 22 April lalu, rakannya, Ahmad Faqis Ismail, 29, dipenjara setahun dan Amireul Iqbal Muhamad, 25, dipenjara 20 bulan terhadap kesalahan sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mengambil peluang kepada tahanannya dengan melarikan diri dari mana-mana jagaan yang sah di sisi undang-undang bagi apa-apa kesalahan di Blok Amanah, Penjara Pengkalan Chepa, jam 11.26 malam pada 18 April 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Gayathri Sambath memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Harian Metro pada 19 April lalu melaporkan, tiga banduan lelaki yang melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa hanya mampu bertahan beberapa jam, sebelum mereka ditahan semula.

Suspek berusia 24 hingga 29 tahun itu dikatakan melarikan diri pada jam 11.26 malam, sebelum mereka ditahan semula di antara jam 12.30 tengah malam hingga 4.10 pagi.

Dua lelaki itu ditahan di kawasan Rumah Sri Kenangan, Padang Tembak dan seorang di kawasan Cure and Care Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Padang Tembak, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 3:16 PM