MANGSA diberi rawatan awal oleh anggota bomba. FOTO Ihsan Bomba.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


SEPASUKAN anggota bomba terpaksa dipanggil bagi menyelamatkan seorang wanita warganegara Indonesia berusia 20 tahun yang pengsan ketika mendaki Gunung Angsi, Ulu Bendul, Kuala Pilah, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti, Mohd Fauzi Shamir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.20 pagi.

“Sembilan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi. Mangsa dikenali sebagai Diyanti Kris, mendaki tanah tinggi itu bersama tujuh lagi rakannya.

“Dia pengsan ketika berada pada ketinggian 300 meter, kami menggunakan alat pengusung untuk membawa mangsa ke kaki gunung,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, mangsa diserahkan kepada pegawai perubatan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 2:43 PM