Keadaan jentera bomba yang terbabit kemalangan di 11, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


TIGA anggota dipercayai cedera termasuk dua parah selepas jentera bomba dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 11, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, hari ini.

Difahamkan kemalangan itu berlaku ketika jentera bomba yang dalam perjalanan pulang selepas selesai melakukan operasi memadam kebakaran membabitkan sebuah lori membawa muatan getah di Kilometer 39, Jalan Gerik- Banding pagi tadi.

Dalam kejadian itu, difahamkan Ketua Operasi serta seorang lagi anggota parah manakala seorang lagi anggota mengalami kecederaan di kepala dan mereka dibawa ke Hospital Gerik untuk menerima rawatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman dikatakan kini dalam perjalanan melawat mangsa di hospital berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan kemalangan itu dan siasatan sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 2:11 PM