Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah bot yang dipercayai digunakan bagi menangkap ikan secara haram di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, menahan 15 nelayan asing termasuk seorang tekong selepas dipercayai menangkap ikan secara haram di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan, berkata semua warga Vietnam berusia 17 hingga 45 tahun itu dipercayai mencuri sumber perikanan negara pada kedudukan kira-kira 26.5 batu nautika Timur Tanjung Balau, kira-kira 11.45 pagi.

Katanya, sebuah bot peronda Maritim Malaysia menjalankan Operasi Jaksa di perairan terbabit, sebelum mengesan sebuah bot yang disyaki bot nelayan asing yang mempamerkan Carving Marking (tanda nama) seperti bot nelayan tempatan.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot itu cuba melarikan diri dan memotong pukat namun berjaya di pintas dan ditahan.

“Pemeriksaan mendapati tekong bot gagal mengemukakan lesen dan terdapat sebilangan kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM 3 juta termasuk bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut, dan bahan bakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah dari Pengarah Perikanan Malaysia.

Katanya, sekiranya disabitkan kesalahan, tekong boleh didenda RM 1 juta, manakala awak-awak boleh dikenakan denda RM 100,000 setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya, selain kedua-dua bot berserta peralatannya boleh dilucut hak.

“Tangkapan kali ini menjadikan tiga Vesel Penangkapan Ikan Asing ditahan di Perairan Johor Timur dalam minggu ini.

“Maritim Malaysia sentiasa serius dan akan meneruskan usaha membanteras pencerobohan bot nelayan Vietnam ke dalam perairan negara khususnya di Pantai Timur Johor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 1:54 PM