NAJIB berehat ketika perbicaraan hari ke-12 membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


PROSIDING perbicaraan kes membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ditetapkan selama tiga bulan bermula 19 Ogos depan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas membenarkan notis usul dikemukakan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas yang memohon supaya kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd didengar sehingga selesai terlebih dulu.

Beliau memberi amaran kepada kedua-dua pihak supaya tidak menangguhkan lagi kes itu kerana pihaknya sudah menangguhkan sebanyak dua kali kes 1MDB yang turut membabitkan kepentingan awam.

Mahkamah dalam keputusannya menetapkan 19 hingga 29 Ogos, sepanjang September dan Oktober serta hingga 14 November depan untuk perbicaraan kecuali pada Jumaat dan cuti umum.

Mahkamah turut menetapkan 21 Jun ini untuk pengurusan kes.

Pendakwaan diwakili Tommy manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Kes membabitkan dana SRC bermula 3 April lalu sepatutnya berakhir 10 Mei depan dan tarikh baru untuk sambung perbicaraan yang membabitkan lebih 60 saksi itu belum ditetapkan.

Manakala kes membabitkan 1MDB sepatutnya bermula 14 Mei depan selama 14 hari di hadapan Collin.

Sebelum ini, Collin sudah melapangkan tarikh perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula 15 April hingga 3 Mei bagi memberi laluan kepada kes dana SRC.

Najib berdepan 21 tuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 12:40 PM