Yeong Fatt (empat dari kiri) selamat turun semula selepas 12 jam sesat di Gunung Berembun, Seremban. FOTO ihsan bomba.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


SEORANG pendaki sesat lebih 12 jam di Gunung Berembun, Jalan Pantai, Seremban, ketika melakukan aktiviti mendaki bersama bapanya semalam.

Fan Yeong Fatt, 35, memulakan aktiviti mendaki pada 8 pagi itu tersesat dan tidak turun semula sehingga senja.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada bapa mangsa pada 8.40 malam dan anggota tiba di lokasi 20 minit kemudian.

Menurutnya, bapa mangsa memberitahu mereka mendaki bersama tetapi dia turun semula manakala mangsa meneruskan pendakian.

“Operasi pencarian bermula 10 malam dengan dibahagikan kepada dua pasukan membabitkan 20 pegawai dan anggota termasuk dari Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM).

“Mangsa gagal ditemui termasuk di lokasi terakhir dia dilihat iaitu di Telapak Buruk. Kita terpaksa menamatkan operasi 5 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun katanya, mangsa berjaya ditemui di kaki gunung selepas turun sendiri ketika pasukan menyambung semula operasi 8 pagi ini.

Mohamad berkata, mangsa tidak cedera dan bomba menamatkan operasi sepenuhnya 8.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 12:13 PM