Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


WANITA warga emas yang rentung dalam kebakaran di Jalan Besi, Kampung Baru Buntong, Ipoh, hari ini, adalah orang kurang upaya (OKU).

Anak saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Sum berkata, ibu saudaranya, Lee Soo Nooi, 66, buta sebelah matanya akibat kemalangan jalan raya sebelum ini.

Katanya, dia mendapat tahu kejadian itu jam 7 pagi daripada seorang lagi ibu saudaranya yang tinggal berdekatan kawasan kejadian.

“Dia (mangsa) anak kelima daripada tujuh beradik dan tinggal di rumah berkenaan bersama kakaknya yang berusia 71 tahun.

“Dia mengalami masalah penglihatan selepas terbabit kemalangan dan dikategorikan sebagai OKU, dia juga baru sebulan mendapat bantuan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kebakaran itu, mayat ditemui bomba di atas katil rumahnya dalam keadaan hangus 95 peratus manakala rumahnya terbakar 75 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Mohd Subri Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.56 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba anggota terus melakukan operasi pemadaman bagi mengelakkan kebakaran merebak ke rumah bersebelahan disebabkan jarak rumah yang terlalu dekat.

Menurutnya, anggota berjaya mengawal kebakaran 10 minit kemudian sebelum menemui mayat mangsa di atas katil.

Berita berkaitan

Warga emas ditemui rentung

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 11:07 AM