Anggota imigresen melakukan pemeriksaan dalam bas ketika operasi bersepadu di BSI Johor Bahru, semalam. Foto Ihsan JIM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


DUA individu diambil tindakan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas gagal mengemukakan pasport ketika keluar dan masuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru, semalam.

Dalam kes pertama, seorang individu didapati gagal mengemukakan pasport kepada pegawai imigresen ketika keluar dari Malaysia.

Individu terbabit diambil tindakan mengikut Seksyen 2(2) Akta Pasport 1966 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (2) akta sama.

Kes dua pula, JIM mengambil tindakan terhadap seorang individu kerana gagal mengemukakan pasport kepada pegawai Imigresen ketika memasuki negara ini mengikut Seksyen 26(4) Akta Imigresen 1959/63.

Sabit kesalahan, masing-masing boleh didenda sehingga RM10,000 atau dihukum penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Kedua individu berkenaan diambil tindakan dalam operasi bersepadu yang dijalankan JIM Johor di pintu keluar masuk negara itu.

Operasi berkenaan dijalankan selepas JIM mengesan kerap berlaku pelanggaran peraturan dan tidak mematuhi undang-undang di pintu keluar masuk BSI.

Unit Komunikasi dan Korporat Pejabat Imigresen BSI dalam satu kenyataan medianya berkata, operasi bersepadu yang dijalankan petang semalam itu diketuai Ketua Unit Penguatkuasaan Imigresen BSI Zakaria Draman dengan memberi fokus di kawasan laluan pemandu bas di pintu masuk BSI.

Menurutnya, operasi selama empat jam yang bermula 3 petang itu membabitkan 100 orang pegawai dan anggota pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk 30 orang dari JIM Johor, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Hasil pemantauan selama dua minggu di kawasan BSI, Unit Penguatkuasaan JIM di situ mendapati pelbagai pelanggaran peraturan serta undang-undang dilakukan pelawatnya.

“Operasi ini dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dan memberi peringatan kepada orang awam pentingnya mematuhi peraturan dan undang-undang di pintu masuk.

“Kita menjalankan operasi di lokasi panas (hot spot) iaitu di laluan pemandu bas yang masuk dan keluar,” katanya.

Menurutnya, JPJ pula mengeluarkan lapan saman dan JAS mengenakan dua kompaun serta enam notis amaran kepada pemandu bas dalam operasi berkenaan.

“JKDM turut menahan sebuah van yang disyaki tidak menepati peraturan semasa dan van berkenaan diserahkan kepada polis dan JPJ untuk tindakan lanjut.

“Sepanjang operasi, sebanyak 390 kenderaan termasuk van dan bas kilang serta bas penumpang diperiksa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 4:41 PM