Kapal mewah Equanimity. Foto Arkib NSTP
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


POLIS sahkan kapal mewah kontroversi Equanimity sudah tidak lagi berlabuh di perairan Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superitendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kapal berkenaan sudah belayar menuju ke Singapura selepas meninggalkan Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) di Bukit Malut, Langkawi kira-kira 2 petang pada Ahad lalu.

“Pergerakan kapal layar berkenaan tanpa diiringi oleh pasukan Pasukan Polis Marin (PPM) disebabkan ia kini dimiliki sepenuhnya oleh Genting Malaysia Berhad.

“Ia bukan lagi aset milik kerajaan yang sebelum ini diletakkan mengikut kawalan Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Difahamkan, kapal berkenaan berlabuh di pelabuhan di Changi, Singapura pada 10.12 pagi semalam.

Sebelum ini, Genting Malaysia Bhd pada 3 April lalu mengesahkan pembelian Equanimity bersama bunker, bahan api, pelincir dan barangan sedia ada atas kapal itu dengan pertimbangan harga AS$126 juta (RM514.6 juta).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu pada 26 Mac 2019 membuat tawaran ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membeli kapal mewah berkenaan di bawah proses Jualan Kehakiman melalui jualan terus persendirian berdasaran perintah yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikut bidang kuasa Admiralti.

Genting Malaysia turut memaklumkan, pengambilalihan itu akan membezakannya daripada pesaing lain, selain memberikannya kelebihan unik serta berdaya saing untuk pelanggan premium perniagaan.

Bersandarkan rekod, Genting Malaysia memaklumkan pengambilalihan itu dijangka tidak mempunyai kesan ketara ke atas pendapatan, aset bersih dan perancangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 3:22 PM