GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


SEORANG pengawal keselamatan antara empat lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana disyaki terbabit menyeludup masuk tujuh migran di Kampung Tinagat Batu 8, Tawau malam tadi.

Semua suspek berumur 26 hingga 74 tahun itu ditahan dalam serbuan di pondok pengawal sebuah syarikat swasta susulan maklumat risikan kira-kira 8 malam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan lanjut ke atas pondok pengawal itu menemui tiga wanita berusia 22 hingga 28 tahun dan empat kanak-kanak berusia tujuh bulan hingga empat tahun.

“Semua individu itu tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan berasal dari Indonesia selain mengaku baharu mendarat di pantai kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, dua daripada empat lelaki yang ditahan itu dipercayai menguruskan membawa masuk semua pendatang asing tanpa izin (PATI) berkenaan.

“Sementara itu, seorang lagi adalah pemandu yang disyaki bertindak sebagai `transporter’ selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu.

“Semua suspek ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, sebuah kenderaan yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu dianggarkan berjumlah RM10,000 turut dirampas.

“Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 12:49 PM