PEJABAT MARDI Seri Kembangan, Serdang, terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


PEJABAT Pusat Penyelidikan Padi dan Beras, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Seri Kembangan, Serdang, terbakar, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan awam berhubung kejadian pada 6.50 petang.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, BBP Cyberjaya, BBP Bangi dan BBP Kajang dikerahkan ke lokasi bagi memadam kebakaran.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati kejadian membabitkan bangunan dua tingkat Pusat Penyelidikan Padi dan Beras MARDI yang mengandungi bahagian pejabat dan makmal penyelidikan.

“Kebakaran hanya membabitkan bahagian pejabat dan anggota berjaya mengawal api daripada merebak ke bahagian makmal penyelidikan yang mengandungi pelbagai bahan kimia.

“Anggaran keluasan kebakaran adalah 432 meter persegi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 9:44 PM