Mohd Ajib (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Abdul Karim di Program Bulan Beramal Bersama di Kuala Lumpur, hari ini. Foto Ihsan JAWI
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


SERAMAI 50 orang asnaf di sekitar Masjid Al Akram Kampung Datuk Keramat menerima sumbangan beras daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan rakan strategiknya, hari ini.

Ia adalah sumbangan sempena menyambut Ramadan pada minggu depan selain mengaktifkan peranan masjid untuk menghidupkan komuniti setempat.

Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail berkata, ia adalah inisiatif jabatan itu untuk keluar daripada kebiasaan dengan memperkasa institusi masjid.

Menurutnya, masyarakat perlu datang ke masjid untuk melihat kebersamaan yang ada tidak kira Muslim atau bukan Muslim, selari dengan konsep dibawa Islam.

“Inilah buktinya kita buat luar dari kebiasaan. Kita kena cakna dengan keadaan sekeliling, proaktif dan memberi maklum balas yang cepat mengenai apa yang berlaku di sekeliling,” katanya ketika berucap di Program Bulan Beramal Bersama di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengerusi masjid berkenaan Abdul Karim Mat Asil.

Penerima sumbangan bagi program itu dikenal pasti daripada 58 buah masjid sekitar Wilayah Persekutuan dengan 680 kampit disediakan untuk sebuah masjid.

Mohd Ajib berkata, pada majlis itu sejumlah 12 buah masjid dan 12 buah surau Jumaat di bawah Zon 4 menerima sumbangan beras dan ia akan diteruskan lagi di kawasan lain selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 9:18 PM