NAJIB hadir pada perbicaraan membabitkan dana SRC International. FOTO Aizuddin Saad
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah
am@hmetro.com.my


NIK Faisal Ariff Kamil, individu yang kini dipercayai sudah melarikan diri dari negara ini, dilantik sebagai salah seorang pemegang amanah membabitkan akaun milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana boleh dipercayai.

Pengurus Ambank cawangan Raja Chulan, R Uma Devi berkata, ia adalah perkara biasa apabila pemilik akaun memberikan kuasa kepada pemegang amanah untuk menguruskan mana-mana akaun.

Saksi ke-21 itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam mewakili Najib, Tan SriMuhammad Shafee Abdullah pada hari ke-11 prosiding kes Najib yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung dana SRC Sdn Bhd (SRC International).

MUHAMMAD SHAFEE: Apa peranan Nik Faisal?

SAKSI: Untuk akaun ini, dia adalah ‘mandate’ (pemegang amanah).

MUHAMMAD SHAFEE: Kebiasaannya, kenapa?

SAKSI: Ada masanya kerana mereka (pemilik akaun) menderita penyakit untuk jangka masa lama atau pemilik akaun berada di luar negara menyebabkan mereka tidak dapat menguruskan akaun mereka.

MUHAMMAD SHAFEE: Adalah agak biasa untuk orang lain menguruskan akaun mereka?

SAKSI: Ya.

MUHAMMAD SHAFEE: Dan bank menerimanya?

SAKSI: Ya, bergantung kepada ‘mandate’ (pemegang amanah). Perlu ada justifikasi.

MUHAMMAD SHAFEE: Kamu setuju untuk seseorang dilantik menjadi ‘mandate’ (pemegang amanah), seseorang itu mesti boleh dipercayai.

SAKSI: Ya.

MUHAMMAD SHAFEE: Kamu setuju seseorang tidak akan melantik pemegang amanah yang tidak dikenali?

SAKSI: Ya.

Pada prosiding sebelum ini, Uma Devi memberitahu mahkamah bahawa Nik Faisal dan Datuk Suboh Md Yasin diberi kuasa untuk menandatangani transaksi RM50 juta daripada akaun SRC International ke akaun Gandingan Mentari Sdn Bhd serta akaun berkaitan pada 2014 dan 2015.

Ini termasuk RM42 juta yang didakwa disalurkan menerusi akaun bank Najib.

Saksi itu berkata, bagi akaun SRC International, lima orang yang diberi kuasa untuk tandatangan adalah Datuk Ismee Ismail, Datuk Che Abdullah@Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Nik Faisal dan Suboh.

Berdasarkan resolusi syarikat, ia dibahagi dua kumpulan iaitu, Ismee, Che Abdullah dan Shahrol Azral di dalam satu kumpulan, manakala Nik Faisal dan Suboh dalam satu kumpulan yang lain.

Nik Faisal yang juga CEO SRC International pada masa itu juga diberi kuasa oleh Najib untuk mengurus tiga lagi akaun Ambank milik Najib.

Bagaimanapun, Nik Faisal kini dilaporkan hilang, tanpa dapat dikesan sejak isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapat liputan meluas.

Sementara itu, Uma Devi ketika menjawab soalan lain Muhammad Shafee berkata, kebenaran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) perlu diperoleh bagi sebarang transaksi wang asing melebihi RM50,000 ke dalam akaun bank negara ini.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram, saksi sama mengakui pihaknya tidak memfailkan sebarang notifikasi kepada Ambank berhubung sebarang kesilapan, ketidakteraturan, percanggahan, pengeluaran tidak sah dan penipuan transaksi membabitkan akaun peribadi Najib.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 8:16 PM