Rahim dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mencuri satu tong gas bernilai RM130 milik sebuah kedai runcit. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mencuri satu tong gas bernilai RM130 dari sebuah kedai runcit.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas Rahim Rahimi, 30, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri satu tong gas jenama Petronas bernilai RM130 di sebuah kedai runcit di Tok Jiring, Kuala Terengganu, pada 12.15 tengah hari 23 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa menerima panggilan daripada anaknya memaklumkan satu tong gas yang dijual di kedai runcit mereka dicuri seorang lelaki menaiki Perodua Alza.

Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Gong Badak, tertuduh ditahan di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Tok Jiring kira-kira 2.25 petang pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 7:57 PM