Ismail (tengah) menunjukkan kenderaan yang dilelong oleh JPJ di pejabat JPJ Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Arash Azzazi
am@hmetro.com.my


KIRA-kira 400 individu mengerumuni ruang bidaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju, Kuala Lumpur untuk mencuba nasib membeli kenderaan yang disita dengan harga jauh lebih murah.

Sebanyak 101 kenderaan pelbagai jenis disita pihak berkuasa dilelong kepada orang awam yang membeli buku lelongan bermula jam 9 pagi ini.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, sebanyak 305 buku lelongan dijual dengan harga RM50 setiap satu.

“Lelongan hari ini mendapat sambutan luar jangkaan apabila ramai pembida hadir bagi membeli kenderaan yang disita.

“Melalui lelongan ini, JPJ berjaya mengutip RM1 juta hasil lelongan semua kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas program lelongan awam di pejabat JPJ Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail berkata, antara kenderaan yang dilelong ialah motosikal, lori, kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Keadaan kenderaan yang dilelong adalah seperti di lihat sewaktu pemeriksaan awam.

“Lelongan berkenaan bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 4.30 petang,”katanya.

Katanya, daripada 101 kenderaan sita itu, terdapat 87 kereta boleh dilesenkan manakala 14 lagi tidak boleh didaftarkan (scrap).

“Bidaan tertinggi pada majlis ini adalah bagi kenderaan jenis Toyota Estima 2.4 (A) yang dibida pada harga RM55,600 sebuah,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 6:29 PM