Mohd Hafiz diiringi anggota polis selepas mengaku bersalah dalam dua pertuduhan berasingan tampar isteri dan pukul anak tiri di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LELAKI dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini selepas mengaku bersalah menampar isterinya dalam satu pertengkaran di rumah mereka.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh, Mohd Hafiz Mohamad, 25, dari Marang mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 326A KK.

Mengikut kertas pendakwaan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap isterinya, Nur Aina Diana Mat Yaman, 32, di sebuah rumah di Kampung Alor Atas Tol, 9 malam pada 17 April lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan memukul anak tirinya yang berusia lapan tahun.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hafiz didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap kanak-kanak perempuan terbabit di lokasi, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa Seksyen 323 KK dan dibaca bersama Seksyen 326A KK.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Majistret Noor Mazrinie Mahmood menetapkan 13 Mei depan sebagai tarikh untuk fakta dan hukuman serta tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Pendakwaan kes itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita mendakwa terpaksa menanggung kesakitan selepas ditampar apabila mempersoalkan tindakan suami memukul anaknya.

Mangsa yang mendakwa sedang mandi mendengar tangisan anaknya sebelum ternampak suaminya sedang memukul anak hasil perkahwinannya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 4:50 PM