PEGAWAI Penguat kuasa MPK memeriksa kilang. FOTO Norzamira Che Noh.
Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my


MAJLIS Perbandaran Klang (MPK) memberi amaran kepada semua pemilik kilang beroperasi di daerah ini supaya memohon lesen yang sah.

Timbalan Pengarah Jabatan Perlesenan MPK Mohd Fharulisa Md Isa berkata, amaran itu dikeluarkan susulan sikap segelintir pengusaha dikesan masih berdegil dan tidak memohon lesen.

“MPK bersama ahli majlis menjalankan pemeriksaan di kawasan perindustrian bagi memastikan kilang berkenaan beroperasi secara sah.

“Operasi dijalankan setiap bulan, bukan tujuan kami mahu menakutkan pemilik kilang sebaliknya beri peluang kepada mereka belum ada lesen menghantar permohonan dengan segera,” katanya.

Beliau, ditemui selepas operasi pemeriksaan kilang di Taman Perindustrian Sobena Jaya, Pandamaran, Klang, hari ini.

Katanya, kilang dikesan tanpa lesen diberi tempoh tujuh hari untuk membuat permohonan.

“Kalau ingkar kilang berkenaan akan disita. Dalam pemeriksaan hari ini empat kilang diperiksa dan dua didapati tidak mempunyai lesen sah daripada MPK.

“Kita mengeluarkan dua notis pemberhentian aktiviti perniagaan tanpa lesen kepada mereka mengikut Undang-Undang Kecil 3 Perlesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 4:33 PM