KEADAAN Sungai Kim Kim selepas dibersihkan. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih melakukan pemeriksaan susulan secara proaktif ke atas mangsa insiden pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, pada Mac lalu.

Pemeriksaan berterusan itu bertujuan mengesan kesan sampingan jangka panjang yang mungkin dialami mangsa.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, sepatutnya mangsa tidak akan mengalami kesan jangka panjang.

“Tetapi pemeriksaan susulan masih dibuat terutamanya membabitkan 26 pesakit sebelum ini memerlukan bantuan pernafasan.

“Setakat ini belum ada kes kesan jangka panjang,” katanya selepas menyempurnakan majlis Sambutan Hari Glaukoma Sedunia peringkat Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JBPM negeri Datuk Yahaya Madis, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azmi Alias, Pengarah HSA Dr Aman Rabu dan Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Johor, Dr Francesca Martina Vendragon.

“Tetapi kita tidak tahu, kita tidak boleh sahkan memang tiada, kita masih perlu jalankan pemeriksaan susulan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan susulan dibuat secara berkala bergantung kepada simptom dialami setiap mangsa.

“Kita ada jadual secara berkala bergantung kepada simptom dialami mangsa ketika kejadian, bukan pemeriksaan sebulan sekali, ada yang tiga bulan sekali, malah ada yang enam bulan sekali,” katanya.

Insiden pencemaran yang berlaku pada 7 Mac lalu itu, menyebabkan lebih 5,000 penduduk dan pekerja sekitar Pasir Gudang terutamanya murid dan pelajar sekolah mendapatkan rawatan akibat mengalami simptom batuk, sakit tekak dan sesak nafas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 12:03 PM