GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my

IMPIAN seorang pesara kerajaan mengerjakan umrah bersama ahli keluarga tidak kesampaian apabila mendakwa diperdayakan syarikat pelancongan menawarkan pakej umrah tidak wujud mengakibatkan dia kerugian RM25,600.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada November tahun lalu, mangsa berusia 63 tahun menghubungi sebuah syarikat pelancongan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pakej umrah ditawarkan.

“Sebelum ini mangsa pernah mengikuti kursus pembimbing umrah dianjurkan syarikat pelancongan berkenaan.

“Mangsa sudah menghadiri dua peringkat kursus berkenaan sebelum ditawarkan pakej umrah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, hasil perbincangan dengan wakil syarikat pelancongan berkenaan, mangsa ditawarkan pakej mengerjakan umrah dengan harga RM4,900 seorang.

“Mangsa berminat untuk menyertai pakej umrah itu bersama beberapa ahli keluarga yang lain. Wakil syarikat pelancongan itu kemudiannya memberi tarikh berlepas iaitu pada 20 April lalu.

“Warga emas itu kemudian membuat lapan kali pembayaran termasuk kos untuk mangsa tinggal selama sebulan di Makkah.

“Keseluruhan pembayaran adalah sebanyak RM25,600 dan dimasukkan ke dalam akaun syarikat pelancongan itu,” katanya.

Namun katanya, pada 20 April lalu, mangsa dimaklumkan penerbangannya terpaksa ditunda ke Khamis lalu.

Namun semakan dilakukan pada hari berkenaan mangsa mendapati penerbangan untuk mereka sekeluarga tidak ada.

“Mangsa yang tidak berpuas hati dan berasa ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 11:12 AM