TUJUH lelaki dan lapan wanita warga China ditahan polis selepas positif dadah dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO ihsan polis.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


POLIS menahan 15 warga China termasuk lapan wanita selepas didapati positif ketamin hasil serbuan di premis hiburan sekitar Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, serbuan dilakukan empat pegawai bersama 18 anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula 2 pagi.

“Kami melakukan ujian saringan air kencing terhadap 17 pengunjung pusat hiburan terbabit sebelum tujuh lelaki dan lapan wanita didapati positif ketamin.

“Semua suspek warga China terbabit direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semakan rekod mendapati premis terbabit mempunyai lesen hiburan sah dan sudah dua kali diperiksa oleh pihak polis pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 9:07 PM