SAIFUDDIN (kiri) menyampaikan pek makanan kepada mahasiswa. FOTO Ghazali Kori.
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bh.com.my


KEKANGAN pegawai menyebabkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak berupaya memantau aktiviti peniaga warganegara sepanjang masa.

Berikutan itu KPDNHEP berdepan kesukaran untuk menempatkan penguat kuasa sepanjang masa untuk memantau pasar borong dan pasar harian berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini pendekatan penguatkuasaan berjadual dilaksanakan untuk mengekang masalah itu.

Beliau berkata, kementeriannya hanya mempunyai 2,294 pegawai penguat kuasa dan adalah mustahil untuk menempatkan mereka di pasar borong dan pasar harian 24 jam sehari.

“Betul, kita akui warga asing kembali berniaga selepas serbuan. Sebab itu kita lakukan tindakan berterusan dan bukan bermusim.

“Apabila kita serbu dan ambil tindakan, adakah ia akan terus tamat? Rampasan dan tangkapan dibuat, tetapi mereka (peniaga warganegara asing) masih ada.

“Bolehkah kita letak terus 24 jam untuk pegawai penguat kuasa KPDNHEP jaga satu pasar borong, pada masa sama sempadan negara bolos dengan isu penyeludupan barangan pengguna dan lambakan produk tiruan,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa (MPGPS) 2019 dan pelancaran Food Bank Siswa UniSZA, Kuala Nerus, hari ini.

Berikutan itu beliau, berpendapat tindakan secara berjadual adalah pendekatan praktikal dan realistik.

Menurutnya, jawatankuasa khas membabitkan empat kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan KPDNHEP dibentuk.

Saifuddin berkata, jawatankuasa berkenaan membincangkan cara untuk mengatasi isu peniaga warganegara asing.

“Jawatankuasa khas ini sudah mengadakan beberapa mesyuarat dan memulakan tindakan lebih praktikal untuk banteras masalah ini.

“Serbuan berjadual dilaksanakan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Malah kita juga mengalu-alukan laporan media sebagai maklum balas berhubung kehadiran peniaga warganegara asing ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 6:30 PM