Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berharap Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dapat menggunakan kepakaran yang ada bagi membantu melaksanakan kajian terperinci dalam usaha mengekalkan kebersihan sungai tercemar di negeri ini.

Baginda bertitah dan menyeru supaya semua dapat bersama-sama mempertahankan kebersihan sungai yang juga sumber utama minuman serta keperluan harian, selain menjadi tempat habitat bagi haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

“Pencemaran air serta udara di Pasir Gudang adalah perkara serius yang perlu ditangani segera.

“Malah, saya turut mendapat maklum bahawa sungai lain di negeri ini turut menerima nasib yang sama.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) dan saya amat mengambil berat akan hal kebajikan dan keselesaan rakyat di Johor,” titah baginda berucap pada Majlis Konvokesyen UTM yang ke-62 di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Pada majlis itu, 1,757 graduan diraikan, selain turut menyaksikan tiga tokoh negara mendapat penganugerahan gelaran Profesor Emeritus dan graduan sulung Program Sarjana Bahasa Dalam Komunikasi dan Budaya Digital.

Baginda bertitah, segulung ijazah yang diterima pada hari ini sebenarnya bermakna kepada semua graduan.

“Pembangunan dan masa depan negara kita ini akan dicorak, dipimpin dan diteruskan legasinya berdasarkan ilmu yang dipelajari dan diperoleh.

“Saya juga amat berharap supaya graduan tidak sesekali melupakan jasa ibu bapa yang banyak berkorban dalam memastikan semua mereka berjaya sehingga tamat pengajian,” titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 3:12 PM
JOHOR BAHRU 29 APRIL 2019. Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyampaikan anugerah Ijazah Doktor Falsafah kepada sebahagian penerima, pada majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia ke-62 di UTM, Johor Bahru. NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN