Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


PIHAK berkuasa menahan lima bot pukat tunda kelas C dan 13 nelayan warganegara Thailand dalam Op Gelora sekitar perairan Tanjung Piandang, Pulau Pinang, antara 4 hingga 4.30 petang kelmarin.

Sepanjang Op Gelora dijalankan Jabatan Perikanan Pulau Pinang dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu itu pihak berkuasa merampas hasil tangkapan seberat dua tan.

Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, keseluruhan rampasan bot dan tangkapan dianggarkan bernilai RM2 juta.

Beliau berkata, semakan dijalankan mendapati 13 nelayan berkenaan bekerja dengan majikan yang beralamat di Perak.

“Aktiviti menangkap ikan dilakukan nelayan berkenaan dikesan ketika kami menjalankan rondaan. Mereka dikesan melakukan aktiviti itu di perairan kurang 12 batu nautika dari pantai.

“Perbuatan itu adalah menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Perikanan 1985 seperti disyaratkan dalam lesen menangkap ikan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Rosman berkata, nelayan berusia 30 hingga 50-an itu ditahan dan bot mereka dibawa ke Pangkalan PPM Batu Uban, Georgetown, untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, nelayan dan majikan dikesan mengutip hasil laut yang lumayan dengan menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap atau memukat ikan kurang 15 batu nautika dari pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 2:35 PM
PEGAWAI Polis Marin memeriksa bot ditahan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.