LIMA lelaki termasuk remaja yang ditahan di Lebuhraya DUKE dalam Ops Samseng Jalanan kerana melakukan aksi berbahaya. FOTO Ihsan JSPT
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


TIDAK sayang nyawa. Kegiatan sekumpulan lelaki termasuk remaja bawah umur yang menayangkan aksi berbahaya di Lebuhraya Duta- Ulu Kelang (DUKE), mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Ops Samseng Jalanan, semalam.

Operasi yang bermula 1 pagi itu menahan lima lelaki berusia dari 17 hingga 22 tahun selepas melakukan beberapa aksi seperti ‘superman’ dan berlumba sesama sendiri.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Sarifudin Mohd Saleh berkata, operasi berkenaan diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad bin Mahmod bersama lapan anggota Risikan Operasi (RO).

“Pihak kami membuat pemantauan kira-kira 1 pagi sebelum mendapati beberapa penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya DUKE sebelum menahan mereka dan membuat pemeriksaan.

“Seramai lima lelaki yang berusia 17 hingga 22 tahun ditahan kerana melakukan pelbagai aksi seperti ‘zig-zag’, ‘superman’ dan mengekori rapat dari belakang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, remaja yang berusia 17 tahun yang turut ditahan didapati tidak mempunyai lesen memandu yang sah, manakala semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambah beliau, terdahulu, pihaknya membuat sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Pahang, dekat Setapak, Kuala Lumpur, bermula 11 malam kelmarin dan tamat 1 pagi.

“Dalam SJR ini, kami menahan dua lelaki berusia 23 dan 40 tahun kerana menunggang motosikal yang didapati mempunyai rekod hilang masing-masing di Jalan Klang Lama pada Mac lalu dan di Danau Kota pada Februari lalu.

“Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut. Dalam SJR ini juga, kami mengeluarkan sebanyak 159 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

“Saman bagi kesalahan tiada lesen memandu mencatatkan jumlah paling tinggi dan lain kesalahan turut dikesan seperti cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tiada cermin sisi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 2:04 PM