BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi menghadapi perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan notis usul dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memohon pengisytiharan bahawa tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya sebagai cacat.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa tiada kekaburan dalam semua pertuduhan yang dihadapi Najib itu atau atas jawatan mana beliau dipertuduhkan.

“Tiada kekaburan atas posisi apa Najib didakwa sama ada sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan atau Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd atau dalam pertuduhan.

“Pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh mematuhi Seksyen 165 Kanun Tatacara Jenayah dan selamat. Tidak ada kesalahan dalam pertuduhan dan adalah menjadi tugas pendakwaan untuk membentang pertuduhan dan mahkamah ini menilainya.

Menurutnya, pihak pembelaan tidak menunjukkan bagaimana ia akan menjadi prejudis kepada tertuduh.

“Perbicaraan sudah berjalan sembilan hari dan soal balas sudah dijalankan oleh pihak pembelaan sendiri.

“Tidak boleh mengatakan bahawa Najib dikelirukan atau diprejudiskan. Dakwaan bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh sebagai cacat adalah tanpa asas. Oleh itu mahkamah menolak permohonan ini,” katanya.

Najib, 65, memfailkan notis usul bagi mengisytiharkan bahawa tujuh tuduhan yang dihadapinya berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) adalah cacat pada 3 April lalu.

Semua tujuh tuduhan membabitkan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu membabitkan dana milik syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.

Dalam permohonan itu Najib memohon tujuh tuduhan dikenakan terhadapnya itu digantung atau dibatalkan.

Beliau mengemukakan alasan bahawa tuduhan itu cacat dari segi bentuk dan isi perkara selain ia satu proses penyalahgunaan mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 10:22 AM