SEBAHAGIAN pelajar menyertai kursus haji perdana di SMK Malim. FOTO Nazri Abu Bakar.
Nazri Abu Bakar
cnews@nstp.com.my


LEBIH 900 pelajar tingkatan empat dan lima dari seluruh negeri ini menyertai kursus haji perdana di Menengah Kebangsaan (SMK) Malim, Melaka, semalam.

Program itu dianjurkan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka bersama Lembaga Tabung Haji (TH).

Pelajar tingkatan lima, SMK Kem Terendak, Mohd Ikhwan Mohd Haifudin berkata, dia mendapat gambaran sebenar mengenai cara menunaikan ibadah haji selepas mengikuti kursus dianjurkan.

“Kami diberi pendedahan yang mendalam bermula dengan niat, memakai ihram, cara tawaf mengelilingi Kaabah, melontar jamrah dan berwukuf di Arafah dengan simulasi diadakan di padang sekolah,” katanya.

Rakannya, Muhammad Amir Hakimi Mohd Izwan, 17, berkata, sebelum ini dia hanya memperoleh maklumat berkaitan ibadah haji dengan membaca buku, menonton televisyen dan melayari YouTube.

Muhammad Amir berkata, kursus disertai meningkatkan kefahaman dalam subjek Pengajian Islam yang dipelajari di tingkatan empat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 2:35 PM