JAMALUDDIN (kanan) menuangkan susu khas melalui corong dan tIub kepada Mohamad Aizat. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


SEORANG bapa buntu memikirkan masa depan dan nasib anak bongsunya yang kini terlantar akibat diserang angin ahmar, awal bulan ini.

Lebih memeritkan Jamaluddin Sain, 59, apabila kos rawatan anaknya Mohamad Aizat Jamaluddin, 25, setiap bulan sangat tinggi.

Katanya, akibat masalah kesihatan dialami Mohamad Aizat, bergantung kepada susu khas dan memakai lampin pakai buang.

“Berikutan itu saya amat mengharapkan sumbangan daripada orang ramai, sekurang-kurangnya dapat beli susu khas disebabkan kami tidak mampu menampung kos bulanan yang tinggi.

“Harga susu ini antara RM50 hingga RM80 satu tin dan hanya mampu bertahan selama empat hari saja, kalau ada orang nak bantu, dapat susu dan lampin pakai buang pun saya sudah syukur.

“Selain bekalan susu setiap empat jam, Mohamad Aizat perlu diberi penjagaan khusus 24 jam, tidak boleh terlalu panas dan perlu kerap diurut bagi mengelakkan dia mengalami kekejangan,” katanya.

Jamaluddin berkata, demikian menerima kunjungan wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit Sungai Burong, Md Termizi Mohd Zaini di rumahnya di Parit Burong, Tanjung Piandang, Parit Buntar, semalam.

Menceritakan kejadian menimpa anaknya pada jam 5 petang awal bulan ini Jamaluddin berkata, Mohamad Aizat sedang berehat sambil meminum air di atas sofa diserang angin ahmar secara tiba-tiba.

“Ahli keluarga pelik melihat keadaannya apabila air diminum tidak ditelan sebaliknya meleleh di mulut.

“Kemudian kami bawa Mohamad Aizat ke hospital, selepas pemeriksaan doktor sahkan dia diserang angin ahmar.

“Doktor juga mengesan pendarahan di kepala anak dan dia perlu menjalani pembedahan dengan segera,” katanya.

Orang ramai ingin boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0823529000048514 atas nama Jamaluddin Sain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 1:32 PM