GAMBAR Hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


GELAGAT mencurigakan dua lelaki membongkar perbuatan mereka yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memeras warganegara asing.

Kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Tun H S Lee, Kuala Lumpur ketika menjalankan rondaan sekitar Jalan Pudu, 4.45 pagi kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah berkata, ketika meronda sekitar laluan pejalan kaki berhadapan Balai Bomba Jalan Pudu, anggota URB terserempak dengan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada mereka adalah rakyat tempatan, manakala dua lagi warganegara India.

“Soal siasat awal mendapati dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu menyamar sebagai pegawai JIM.

“Mereka menahan warganegara India berkenaan dan mengarahkan mangsa menyerahkan pasport serta I-Card kononnya untuk tujuan pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rudy berkata, selain menahan suspek pihaknya turut merampas Proton Persona, baju T warna biru tertera logo polis dan telefon bimbit daripada dua lelaki berkenaan.

“Dua suspek terbabit direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 10:33 AM