SHAHRAEL Azahar (tiga dari kanan) bersama kakitangannya menjamin ketulenan produk dan servis terbaik untuk pelanggan.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Berhati-hati membeli minyak pelincir di pasaran kerana ada sindiket yang mengitar semula minyak hitam terbuang sebelum dijual semula kepada pengguna.

Itu pesanan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRM Ukhwah Holding Sdn Bhd Shahrael Azahar Abd Rahman yang berkata, sindiket itu meniru pembungkusan asli minyak pelincir terkenal dan menjualnya pada harga sama seperti produk sebenar.

“Sindiket ini buat kerja bukan baru sehari dua dan sebab itu kena berhati-hati malah saya sendiri pernah ditipu apabila terbeli produk tiruan ini.

“Sebagai pemilik bengkel saya sendiri susah hendak mengecam sekali imbas produk tiruan ini melainkan melakukan pemeriksaan teliti ke atas setiap satu produk.

“Namun isu itu boleh diselesaikan jika pengguna membelinya daripada pengedar sah seperti syarikat kami yang mendapatkan barangan asli secara terus daripada kilang pengeluar jenama itu,” katanya.

Berkaitan perniagaan, Shahrael Azahar berkata, syarikatnya mempunyai cawangan di Subang Jaya, Puncak Jalil, Seri Kembangan, Cyberjaya di Selangor, Bandar Enstek di Negeri Sembilan selain akan membuka sebuah cawangan di Bangi.

Beliau berkata, syarikatnya juga diberi kepercayaan oleh jenama Grantt di bawah UMW Holdings dan Continental sebagai pengedar sah.

“Kami juga penjual sah jenama FPO, Hankook, Viking, Dunlop, PROTON, Perodua, Honda, Toyota, Nissan dan banyak lagi,” katanya.

“Kami turut menyediakan khidmat mesra pengguna beroperasi dari jam 9 pagi hingga 7 petang setiap hari kecuali Ahad,” katanya.

Menurut beliau, syarikat berkenaan milik penuh Bumiputera dan mempunyai lebih 50 kakitangan.

Katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau berpegang kepada prinsip asas seperti sentiasa berdoa, berusaha dan bertawakal untuk mencapai kejayaan.

“Pada masa sama, kita juga perlu sentiasa belajar dengan orang-orang yang berjaya termasuk cara menguruskan masa, kewangan dan keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 7:30 AM