M Kulasegaran (tiga kanan) beramah mesra dengan pelajar orang asli ketika hadir pada Taklimat Program TVET. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


KERAJAAN komited dalam usaha mengeluarkan masyarakat Orang Asli daripada kelompok miskin tegar dengan memberi pendidikan bukan saja dari segi akademik tetapi juga latihan kemahiran.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, pihaknya kini menawarkan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara percuma kepada masyarakat Orang Asli seluruh negara.

Katanya, Orang Asli bukan saja diberikan latihan secara percuma tetapi kementerian juga akan memberi kelonggaran atau kuota khusus untuk kemasukan mereka ke mana-mana pusat latihan dibawah Kementerian Sumber Manusia.

Menurutnya, sebelum ini syarat kemasukan antaranya adalah perlu lulus mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Malaysia dan Sejarah, namun bagi masyarakat ini mereka kan diberi kelonggaran.

“Orang Asli masih lagi terpinggir dalam semua aspek sama ada ekonomi, politik dan sebagainya, maka bagi membantu mereka kementerian akan memberi sedikit kelonggaran kepada mereka untuk kemasukan ke pusat-pusat TVET yang ada di negara ini.

“Mereka hanya perlu pandai membaca dan menulis untuk membolehkan mereka menyertai kursus-kursus yang mereka minati di semua TVET dibawah kementerian saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Taklimat Program TVET untuk pelajar dan ibu bapa masyarakat Orang Asli anjuran Persatuan Orang Asli Perak (POAP) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perak di Pusat kecemerlangan Orang Asli Perak, Simpang Pulai, hari ini.

Hadir sama Pengerusi POAP, Datuk Suki Mee dan Pengarah ILP Perak, Jamil Yahya.

Kulasegaran berkata, mereka yang berminat tidak perlu menggeluarkan sebarang kos pembelajaran termasuk yuran, malah segala keperluan seperti pakaian, peralatan dan sebagainya akan ditanggung kerajaan.

“Saya berjanji segala kos dari rumah ke institusi latihan hingga balik (tamat kursus), semua ini akan dibiayai kerajaan 100 peratus serta bantuan dari segi kewangan atau lain-lain juga akan dipertimbangkan.

“Kemasukan pelajar di institut kemahiran di negara ini memang sangat kurang dari kalangan masyarakat Orang Asli dan diharap usaha ini dapat menarik lebih ramai belia Orang Asli menyertai bidang TVET,” katanya.

Menurutnya, belia Orang Asli juga akan diberi kelebihan menyertai kursus secara berkumpulan kerana kerajaan sedar masyarakat ini sukar bergaul jika bersendirian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 3:02 PM