LELAKI dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah gagal melarikan diri. FOTO Khalip Latip
Khalid Latip

ANGGOTA polis cedera ketika bergelut dengan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah di Lorong Sentosa Barat, Sibu, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Martin Koo berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa yang berusia 32 tahun cedera di pergelangan tangan kanan ketika cuba menahan suspek.

Beliau berkata, lelaki itu cuba melarikan diri ketika sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan Pasukan Petugas Khas Lanang memperkenalkan diri.

“Suspek yang berusia 23 tahun itu tiba-tiba melarikan diri ke arah belakang rumah namun tidak sempat meloloskan diri.

“Bagaimanapun, pergelutan berlaku apabila dia bertindak agresif ketika anggota polis cuba menangkapnya dan ia menyebabkan seorang anggota kami cedera,” katanya kepada pemberita di Sibu, hari ini.

Beliau berkata, suspek berjaya ditahan dan anggota polis yang cedera dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

“Tindakan agresif lelaki itu memaksa anggota polis menggunakan kekerasan minima untuk menahannya,” katanya.

Katanya lagi, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 1:02 PM