KHAIRUL Zahirah (kiri) menunjukkan replika labu gergasi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakuan Ahmad Badaruddin ketika melihat kemudahan di Labu Sentral, semalam. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

LABU SENTRAL yang sebelum ini terpaksa dihentikan operasinya akibat banjir besar pada 2014 akan dihidupkan semula dengan memberi peluang kepada penduduk tempatan memasarkan produk kraftangan daerah Jerantut.

Pegawai Daerah Jerantut, Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaludin berkata, Labu Sentral yang terletak di Kampung Labu, Jerantut berperanan sebagai kawasan Rehat dan Rawat (RnR) bagi mereka yang ingin melancong ke Taman Negara Kuala Tahan.

Beliau berkata, Labu Sentral yang dilancarkan pada 2012 terpaksa ditutup dua tahun kemudian disebabkab banyak kemudahan asas yang rosak akibat kesan banjir.

“Ia dalam perancangan untuk dihidupkan semula dan ia perlu kerana menjadi destinasi persinggahan pelancong untuk ke Taman Negara.

“Selain itu ia juga menjadi RnR kepada pengguna bot di Sungai Tembeling untuk ke Taman Negara,” katanya kepada ketika ditemui pemberita di Jerantut.

Beliau berkata, selain menjadi tarikan pelancong untuk singgah membeli barangan kraftangan ia juga mampu merancakkan ekonomi penduduk setempat yang kembali berniaga di kawasan itu.

Katanya, RnR Labu Sentral kini sudah dibaik pulih dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti jeti pendaratan bot, gerai, pusat informasi pelancongan, tandas,surau serta dewan.

“Kita akan bekerjasama dengan Mutiara Taman Negara dan lain-lain agensi pelancongan bagi memastikan ia dapat menarik pelancong yang menggunakan bot di sungai atau kenderaan darat,” katanya.

Tengku Khairul Zahirah berkata, perjalanan dengan bot dari jeti Kuala Tembeling ke Taman Negara adalah selama tiga jam dan Labu Sentral adalah satu persinggahan yang sesuai untuk pelancong berehat serta membeli kraftangan dan hasil pertanian penduduk tempatan sebelum meneruskan perjalanan.

Beliau berkata, Labu Sentral yang dibangunkan di bawah program Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebelum ini menjadi destinasi persinggahan pelancong disebabkan mempunyai pusat informasi pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 12:03 PM