Roslee (dari kiri), Saiful Azly dan Thiew antara Pegawai Kanan PDRM yang terbabit dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa 28 Mei ini. FOTO Arkib NSTP
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


POLIS Diraja Malaysia (PDRM), hari ini, mengumumkan pertukaran 11 pegawai kanannya berkuat kuasa 28 Mei ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad berkata, arahan pertukaran itu membabitkan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Deputi Komisioner (DCP) Datuk Roslee Chik yang ditukar sebagai Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Katanya, DCP Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pula ditukar sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.

“Selain itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan, Asisten Komisioner (ACP) Thiew Hock Poh pula bertukar ke Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan, Johor manakala Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon 11 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ACP Abdul Latiff Mehat bertukar ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asmawati berkata, ACP M V Srikumar Madhavan Nair yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Komander (Operasi) Unit Tindakan Khas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman ditukar ke Juruiring kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Jabatan Pengurusan Johor.

ACP Task Force Modern Policing, Bahagian Dasar Sumber Manusia Jabatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Low Kim Piew pula pula ditukar sebagai Penolong Pengarah Pengurusan (Maklumat Sumber Manusia), Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

“Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff akan menjadi Ketua Polis Daerah Ampang Jaya dengan memangku pangkat ACP dan Superintendan Rajab Ahad Ismail dari Bahagian Latihan Bukit Aman akan menggantikan Noor Azmi.

“Turut bertukar adalah Deputi Superintendan (DSP) Risik/Bantuan Teknik Integriti, Cawangan Risikan/Operasi, Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Pematuhan Standard dan Integriti (JIPS) Bukit Aman, DSP Abdul Mubin Abd Rahman yang akan menjadi Ketua JIPS Pulau Pinang dengan memangku pangkat Superintendan,” katanya.

Sementara itu, Asmawati berkata, Ketua Bahagian Latihan, Maktab PDRM Kuala Lumpur, DSP Mohd Rusli Din pula akan menyandang jawatan sebagai Komandan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa, Selangor dengan memangku pangkat Superintendan.

“Pertukaran terakhir membabitkan Timbalan Ketua JSJK, Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket/Siber Melaka, DSP Hasbullah Abd Rahman yang akan menjadi Ketua JSJK Perak dengan memangku pangkat Superintendan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 11:43 PM