GAMBAR hiasan
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


DUA lelaki berusia 23 dan 27 tahun diberkas polis selepas mencuri bateri sebuah lori di Jalan Baru, Perai semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, mereka yang menaiki Perodua Myvi dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu 5.20 pagi.

Berikutan itu katanya, anggotanya yang melakukan rondaan menahan kereta itu dan pemeriksaan menemui empat bateri lori dan pemotong wayar.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Suspek dipercayai mensasarkan kenderaan berat yang diletakkan di kawasan tersembunyi dan mencuri bateri lori dengan cara mengumpil bonet depan sebelum menjualnya,” katanya.

Menurutnya, sejak sebulan lalu, polis menerima dua laporan berkenaan kehilangan bateri lori di Permatang Batu dan suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu termasuk di Jalan Baru.

Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri bateri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 6:21 PM