GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


AKIBAT gagal mendapatkan wang, seorang lelaki bukan hanya bertindak biadap apabila mengugut mahu memukul ibunya, namun turut menumbuk adiknya dalam kejadian di Kampung Seberang Limbongan, dekat Jerteh, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 1.30 pagi ketika wanita berusia 57 tahun berada di rumah sebelum suspek berusia 25 tahun meminta sejumlah wang.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa bagaimanapun enggan memenuhi permintaan suspek menyebabkan anaknya itu mengugut mahu memukulnya.

Beliau berkata, suspek turut menumbuk telinga kiri adik lelakinya 16 tahun sebelum beredar.

“Mangsa memaklumkan suspek kerap meminta wang dan akan mengamuk sekiranya permintaannya tidak dipenuhi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamri berkata, susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Kampung Raja pada hari sama, suspek yang juga penganggur ditahan di rumah kira-kira 4 pagi semalam.

Katanya, suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 KK kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 3:42 PM