SUSPEK menunjukkan tempat pendingin hawa disorok. FOTO Erika George
Erika George

DUA lelaki kempunan merasai nikmat udara nyaman ketika cuaca panas selepas polis menemui semula seunit pendingin hawa yang dilaporkan hilang dari klinik di Pusat Komersial Medan Raya, Bintulu, minggu lalu.

Dalam kejadian pada kira-kira 4 petang, semalam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bintulu, menangkap dua suspek berusia 29 dan 32 tahun dalam serbuan di rumah di Jalan Miri-Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek mendapati pendingin hawa bernilai RM1,400 itu dicuri selepas dilaporkan hilang pada 18 April lalu.

“Semakan pihak polis mendapati, pendingin hawa yang dijumpai adalah unit sama seperti dilaporkan hilang sebelum ini. Kami juga merampas kereta milik seorang daripada suspek dipercayai digunakan bagi melakukan jenayah curi berkenaan.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Lokap Balai Polis Pusat Bintulu, dan ditahan sehingga 27 April ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, di Bintulu, hari ini.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan jenayah curi harta-benda.

“Jika disabit kesalahan, kedua-dua suspek berdepan hukuman penjara maksima tujuh tahun beserta denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 1:36 PM