BOMBA membawa mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Roselan Ab Malek
am@hmetro.com.my


REMAJA lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama tujuh rakannya di Sungai Triang dekat Kompleks Agropolitan Chemomoi di Temerloh, kelmarin, ditemui lemas 7.06 pagi tadi.

Komander operasi, Penguasa Bomba Zon 2 , Rosdi Mustafa berkata, mangsa, Mohd Sofian Sahar, 14, ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi dia dipercayai dihanyutkan arus deras.

Ia selepas operasi mencari dan menyelamatkannya (SAR) dijalankan sejak kelmarin.

“Mayat sudah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Bentong bagi proses bedah siasat.

“Keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai penemuan mayat oleh pasukan SAR,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa dikatakan cuba berenang menyeberangi sungai sebelum dihanyutkan arus deras bersama tujuh lagi rakannya yang lain.

Bagaimanapun, tujuh rakan mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di kawasan berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 12:17 PM