EMPAT pekerja kilang wanita cedera selepas bas dinaiki mereka terbabas di Jalan Bachang, Melaka. FOTO ihsan pembaca
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


EMPAT pekerja kilang wanita warga Indonesia cedera selepas bas dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Bachang, Melaka, malam tadi.

Ketika kejadian 7.50 malam itu, bas kilang berkenaan membawa kira-kira 30 penumpang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, bas kilang dipandu lelaki tempatan berusia 70 tahun.

Beliau berkata, sebelum kejadian bas itu dalam perjalanan dari arah kilang di Batu Berendam, menghala ke Lorong Pandan untuk menghantar penumpang.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian bas berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Susulan itu, bas terbabit kemudian terjatuh ke dalam parit mengakibatkan empat penumpang tercedera,” katanya ketika dihubungi.

Afzanizar berkata, tiga mangsa dirawat di Zon Hijau Hospital Melaka, manakala seorang lagi dirawat di Zon Kuning hospital sama.

“Kesemua mereka hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 10:12 AM