LAPORAN portal harian Metro mengenai dua pelajar Sekolah Tahfiz Assidiq Gurfan, Simpang Renggam yang dikhuatiri lemas.
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


“SEMUA yang berlaku sudah ditakdirkan,” kata Mazeni Kasman, 46, bapa kepada seorang mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Kampung Sahari di Simpang Renggam, petang hari ini.

Dalam kejadian 6.10 petang itu, anak ketiganya, Muhammad Ammar, 13, dan rakan sekolah, Mohd Danish Mirzan, 16, hilang dibawa arus deras ketika mandi sungai bersama enam rakan lain.

Mazeni berkata, walaupun Muhammad Ammar masih belum ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR), dia dan isteri, Suriyani Khalid, 36, masih menaruh harapan anak ketiga daripada lima beradik itu dapat ditemui.

Katanya, selain Muhammad Ammar, dua lagi anaknya iaitu Muhammad Afiq, 16, dan Muhammad Adib, 15, bersekolah dan tinggal di asrama Sekolah Islam As Sydiq di Kampung Sahari, Simpang Renggam, sejak beberapa tahun lalu.

“Petang tadi, Muhammad Adib ada telefon saya dan minta mengambilnya, abang dan adiknya lewat sikit atau hampir Maghrib.

“Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa kerana sebelum ini pengurusan sekolah ada memberitahu supaya membawa pulang anak hari ini.

“Jadi, saya sempat pergi bermain bola, namun selesai permainan, saya terkejut apabila mendapati banyak nombor yang tak dikenali menghubungi saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam ini.

Menurutnya, dia menelefon nombor pertama yang menghubunginya dan terkejut apabila diberitahu Muhammad Ammar dikhuatiri lemas.

Katanya, keluarganya yang tinggal di Kampung Isnin Maarof, bergegas ke Sungai Kampung Sahari dan ketika itu pasukan bomba melakukan operasi SAR bagi mencari anaknya dan Mohd Danish.

“Muhammad Afiq beritahu, dia bersama tujuh rakannya pergi ke sungai itu untuk mandi ketika air sungai hanya pada paras pinggang, malangnya secara tiba-tiba arus deras menghanyutkan mereka.

“Alhamdulillah, Muhammad Afiq dan Muhammad Adib berjaya menyelamatkan diri dan sempat meminta tolong.

“Sekarang saya hanya mampu berdoa supaya anak dan rakannya dijumpai dan sebagai umat Islam, saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, keluarga reda dengan apa yang berlaku dan tidak menyalahkan pengurusan sekolah.

Sementara itu, seorang guru mangsa yang enggan dikenali berkata, pihak sekolah sudah memaklumkan kepada semua ibu bapa pelajar untuk mengambil anak masing-masing dan tidak menyangka kejadian malang menimpa pelajar mereka.

Selain itu, guru berkenaan menafikan dakwaan pelajar mandi di sungai itu disebabkan masalah ketiadaan air di kawasan asrama.

“Kami hanya sedar kejadian itu selepas dimaklumkan seorang guru sekolah yang secara kebetulan melalui tempat kejadian.

“Pelajar mandi sungai tanpa kebenaran sekolah dan sebelum kejadian, memang hujan agak lebat.

“Kami tidak menyangka mereka akan pergi mandi di sungai ini,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Enam selamat, dua remaja masih hilang

2 remaja dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 12:41 AM